Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.

“Bagi fasa pertama, sebanyak tiga syarikat baharu membabitkan syarikat daripada Wawasan Bintang Sdn Bhd yang berada di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.

“Syarikat kedua adalah Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang berada di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang; manakala satu lagi syarikat ialah Beriman Gold Sdn Bhd yang berada di Kuching dan Serian, Sarawak,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Pelantikan PPKM, di sini, hari ini.

Loke berkata, pelantikan berkenanan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus Sendirian Berhad dan pemilikan tempatan.

“Syarikat juga memenuhi kriteria utama seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Permohonan PPKM dan lokasi yang dipohon adalah selari dengan senarai lokasi perkhidmatan PPKM yang sudah ditetapkan oleh MOT.

“Kertas kerja bagi permohonan yang dikemukakan menunjukkan potensi, kesediaan dan komitmen tinggi bagi memastikan kelulusan bersyarat yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Loke, hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih adalah sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan oleh PLAN Malaysia.

“Pelantikan syarikat ini meliputi kawasan di Semenanjung Malaysia (Wilayah Tengah, Timur, dan Selatan) serta Sarawak (Borneo),” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, tawaran permohonan bagi PPKM dibuka pada 1 Julai 2024 sehingga 31 Oktober 2024 dan sepanjang tempoh terbabit, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebanyak 12 permohonan daripada syarikat yang berminat untuk menjadi penyedia PPKM.

Beliau menjelaskan, syarikat yang tidak berjaya dalam permohonan itu kerana gagal memenuhi kriteria utama yang sudah ditetapkan. 

“Terdapat juga beberapa faktor lain yang mempunyai konflik kepentingan dengan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, seperti terbabit dalam perkhidmatan pembaikan, jual beli, atau pengubahsuaian kenderaan.

“Syarikat yang menerima surat tawaran pelantikan PPKM berkenaan diberikan tempoh 24 bulan untuk melengkapkan keperluan infrastruktur termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh pembangunan berkenaan, MOT melalui JPJ akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan syarikat yang dilantik mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan. 

“Lesen operasi hanya akan diberikan selepas syarikat berkenaan memenuhi sepenuhnya keperluan peraturan dan kelengkapan peralatan serta bersedia untuk memulakan operasi.

“Bagi memperluas perkhidmatan PPKM, MOT akan membuka semula permohonan bagi PPKM Fasa Kedua bermula 1 Mac 2025 hingga 31 Jun 2025. 

“Syarikat yang tidak berjaya dalam fasa pertama, serta mana-mana syarikat lain yang berminat, dipelawa untuk mengemukakan permohonan pada fasa kedua ini,” katanya.

Katanya, MOT menggalakkan syarikat yang berminat dan berkelayakan, terutamanya milik tempatan yang memiliki pengalaman serta kepakaran dalam bidang pemeriksaan kenderaan untuk mengemukakan permohonan.-BH Online