KUALA LUMPUR: Malaysia dan Uzbekistan melihat prospek meyakinkan untuk membangunkan zon perindustrian bersama di negara Asia tengah itu.
Kedua-dua kerajaan dalam satu kenyataan bersama berkata ini juga akan membuka ruang bagi memperkenalkan amalan terbaik dan kepakaran dalam pembangunan dan operasi taman perindustrian.
“Di samping itu, ini juga akan memupuk kerjasama dalam menarik syarikat pengurusan, pengurus taman dan pelabur lain untuk mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan zon perindustrian di Uzbekistan,” kata kedua-dua negara itu melalui kenyataan terbabit.
Ini antara hasil dicapai menerusi rundingan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev semasa pertemuan kedua-dua pemimpin itu hari ini.
Mirziyoyev, kini dalam rangka lawatan rasmi sulung selama dua hari ke Malaysia bermula semalam.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu, industri halal, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bandar pintar dan pembangunan pemula niaga, antara lainnya untuk memberikan manfaat bersama bagi kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin juga berminat untuk meneroka perkongsian dalam industri minyak sawit,” katanya.
Sementara itu, Uzbekistan sekali lagi mengulangi hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Petronas, khususnya dalam bidang sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau bersih.
“Petronas berbesar hati untuk menyokong usaha ini dengan menjalin kerjasama dari segi sokongan teknikal, pertukaran maklumat dan perundingan bagi bidang kepentingan berkaitan, di samping meneroka peluang untuk melaksanakan bersama projek pelaburan yang saling menguntungkan,” katanya.
Semasa lawatan rasmi Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lalu, kerajaan Uzbekistan menyatakan minat mereka untuk bekerjasama dengan Petronas, terutamanya melalui projek metanol-ke-olefin (MTO) dan derivatif, serta dalam pengeluaran hidrogen hijau dan derivatif berkaitan, termasuk ammonia hijau.
Selain itu ia juga menyambut baik potensi sumbangan Petronas untuk melatih pekerja dalam sektor minyak dan gas Uzbekistan.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dengan memanfaatkan ‘Visit Malaysia 2026’ dan meneroka peluang dalam pelancongan Islam dan Halal.
Ini termasuk program ‘Umrah+’ untuk mempromosikan Malaysia dan Republik Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan sebelum atau selepas mengerjakan umrah untuk pelawat dari kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menggunakan penerbangan terus Kuala Lumpur-Tashkent melalui Uzbekistan Airways dan Batik Air Malaysia bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan,” katanya.
Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan bernilai RM369.8 juta (AUS$80.9 juta), susut sedikit sebanyak 13.2 peratus daripada RM426.1 juta (AS$94 juta) yang direkodkan pada 2023.
Imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia sebanyak RM360.3 juta (AS$78.9 juta).
Pada 2024, Uzbekistan kekal rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.-BH Online