Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand komited untuk memperkukuhkan hubungan sedia ada, selain meneroka peluang kerjasama baharu termasuk dalam konteks pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia menghargai komitmen dan persetujuan Thailand untuk terus membawa hubungan pertahanan antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi termasuk melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan.

“Malaysia mengakui bahawa platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Thailand yang memasuki edisi ke-56 adalah usaha yang baik dalam pengukuhan kerjasama berkaitan keselamatan sempadan, operasi bersama serta inisiatif pembangunan sosioekonomi dan pengurusan bencana.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan diplomatik yang baik, sama ada secara dua hala mahupun melalui platform seperti ASEAN,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Mohamed Khaled tiba di Bangkok untuk lawatan kerja rasmi tiga hari bagi memperkukuhkan kerjasama persempadanan kedua-dua negara.

Sempena lawatan kerja rasminya ke Thailand, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai di Kementerian Pertahanan Thailand.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalu-alukan kerjasama lebih erat bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand dan berharap mereka dapat memanfaatkan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dalam usaha pembangunan kapasiti dan mempertingkat diplomasi pertahanan Malaysia-Thailand.

Pada lawatan berkenaan, Mohamed Khaled turut memanjangkan jemputan kepada Phumtham ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA ’25) dan dua acara sempena peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, iaitu Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat ADMM. – BERNAMA