KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan rel di negara ini, terutama untuk perjalanan jarak jauh susulan permintaan yang semakin meningkat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata beliau mendapati trend menaiki kereta api terutama perkhidmatan tren elektrik (ETS) semakin meningkat bukan hanya pada musim perayaan.
Oleh itu katanya, MOT akan terus memberi penekanan kepada ETS kerana ia untuk perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke utara dan selepas ini ke Johor Bahru.
“MOT dan kerajaan akan terus beri sokongan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ketika ini kita sedang berusaha menambah lagi lebih banyak gerabak dan perhentian untuk tambah kapasiti.
“Kita lihat kapasiti yang ditawarkan ini semuanya dijual menunjukkan permintaan tinggi tetapi kerana kapasiti terhad ketika ini, kita hanya mampu tawarkan dalam 100,000 penumpang ETS.
“Jadi jika ada kapasiti tambahan saya yakin ratusan ribu malah kalau ada banyak kereta api, lebih ramai akan pilih kereta api daripada menggunakan kenderaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Edaran Pek Cenderahati Kepada Penumpang KTMB di KL Sentral di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Datuk Azhar Ahmad.
Sementara itu, Loke berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025, KTMB sekali lagi meneruskan tradisi tahunan dengan mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang tren ETS di Stesen KL Sentral.
Katanya, edaran pek cenderahati pada tahun ini turut mendapat sokongan erat daripada RAC yang bersama menyantuni penumpang ETS sebagai tanda penghargaan terhadap kesetiaan mereka menggunakan perkhidmatan itu.
“Lebih 600 pek cenderahati yang mengandungi pelbagai juadah tradisional kaum Cina dan minuman telah disediakan untuk diserahkan kepada para penumpang tren ETS EP9176 serta pengguna tren di Stesen KL Sentral.
“Selain itu, program ini akan turut dimeriahkan di Stesen Butterworth dengan mengedarkan sebanyak 400 pek cenderahati kepada penumpang KTM Komuter pada 27 Januari ini.
“Program pemberian cenderahati ini adalah satu daripada program tahunan yang diadakan sebagai tanda terima kasih dan menghargai sokongan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel khususnya pada musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata, berkenaan status penjualan tiket ETS sempena Tahun Baharu Cina 2025 bermula 24 Januari sehingga 2 Februari ini sebanyak 105,168 tiket habis terjual.
Katanya, bagi tiket KTM antara bandar, sebanyak 43,920 tiket atau 77 peratus habis dijual manakala tiket shuttle Tebrau habis dijual sebanyak 99,200 atau 75 peratus.
“Pada tahun ini, KTMB turut memperkenalkan dua perjalanan tren khas pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Butterworth dan sebaliknya.
“Perkhidmatan tren khas ini menawarkan sebanyak 396 tiket untuk setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan tiket pergi dan balik sebanyak 792 tiket yang mula dijual pada 21 Januari lalu,” katanya.-BH Online