Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Malaysia diseru terus menegakkan prinsip keadilan, kemanusiaan serta memastikan ASEAN kekal teguh mempertahankan hak asasi manusia dan memajukan kesejahteraan serantau sempena kepengerusiannya tahun ini. 

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sebagai pengerusi ASEAN, negara memiliki tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan integrasi dan memastikan keamanan serantau.

“Tindakan agresif mana-mana kuasa besar di Laut China Selatan harus ditolak dengan tegas bagi memastikan rantau ini kekal sebagai zon yang aman, stabil dan bebas daripada sebarang konflik yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara-negara serantau. 

“ASEAN juga perlu mengambil berat ancaman bukan tradisional ke atas rantau ASEAN seperti soal keterjaminan makanan kesan daripada perubahan iklim dan krisis geopolitik,” katanya ketika sesi Pidato Presiden pada Konvensyen AMANAH Nasional 2024 di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata negara perlu memainkan peranan penting dengan memastikan ASEAN tidak berdiam diri terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan bertindak secara kolektif menyelesaikan isu melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat. 

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata cabaran hak asasi manusia yang berlaku di beberapa negara ASEAN, seperti krisis Rohingya perlu ditangani dengan lebih tegas dan berprinsip. 

Pada 11 Oktober lalu, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia di Vientiane, sebagai tanda berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta mesyuarat berkaitan.

Majlis penutupan itu melambangkan perpindahan kepimpinan blok serantau itu, membuka laluan untuk Malaysia menerajui ASEAN pada 2025.-BH Online