Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JELI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperluaskan penggunaan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass untuk rakyat Malaysia di pintu masuk antarabangsa lain selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang, Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak) dan Langkawi (Kedah).

“Kita akan laksanakannya tidak lama lagi. Sejak 21 hari sistem ini perkenalkan, ia telah memberi manfaat kepada 150,000 pengembara wargan Malaysia di KLIA,” katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ibrahim Esa.

Menurut beliau, aplikasi itu memberi kemudahan kepada pengembara yang hanya memerlukan tempoh tiga saat untuk melepasi sempadan negara.

Ujarnya, ia merupakan satu langkah inovatif ke arah mempercepatkan pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan memperbaiki imej negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 500,000 pengguna telah memuat turun aplikasi tersebut dan JIM akan menambah lagi 40 kaunter sistem pagar automatik (autogate) di KLIA pada tahun ini.

“Ia bertujuan memudahkan urusan selain mengelakkan sebarang isu melibatkan integriti.

“Meskipun sistem pagar automatik digunakan di KLIA, JIM tetap akan membuka sebanyak lima hingga 10 kaunter manual untuk sebarang urusan ke luar negara,” katanya.

Sinar Harian 1 Januari lalu melaporkan, kerajaan akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.

Penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan KLIA T1 dan KLIA T2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.-Sinar Harian Online