DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penekanan terhadap potensi besar rantau ASEAN menjadi mesej utama yang disampaikan sempena kehadiran beliau di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata, Malaysia memberi penekanan terhadap keistimewaan rantau ini termasuk dalam bidang ekonomi dan perdagangan pada sesi WEF 2025 kali ini.
“Ia sama ada berdagang secara intra (ASEAN) dan juga perdagangan sebagai sebuah kekuatan dengan Amerika Syarikat (AS), China, Eropah dan BRICS.
“Kita menyatakan ASEAN dengan hampir 700 juta penduduk, mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pesat dan rantau yang lebih aman itu mempunyai potensi besar,” katanya pada sidang media penutup sempena lawatan kerja beliau ke WEF 2025 di sini.
Anwar berkata, selain potensi perdagangan dan ekonomi, ASEAN juga ingin memberi tumpuan kepada isu transisi tenaga selain isu seperti asas pendidikan, teknologi makanan, kesalinghubungan serta digital.
“Tumpuan kita selain asas pendidikan dan teknologi makanan adalah transisi tenaga, dengan grid dari Indochina, Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia ke Filipina. Ini suatu yang agak berlainan, satu kemajuan luar biasa,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF, Prof Klaus Schwab.
Lawatan kerja ke Davos adalah destinasi terakhir dalam siri lawatan kerja beliau merangkumi empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Belgium dan terakhir di Switzerland.
“Kita bersyukur walaupun ini kali pertama saya hadir selaku Perdana Menteri, saya rasa layanan dan pengiktirafan (WEF) kepada negara sangat baik.
“Ini sama ada laluan diberikan pada sidang plenari (ASEAN) dan sidang serentak yang dihadiri menteri lain,” katanya.
Sepanjang lawatan selama tiga hari ke WEF 2025, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Antara sesi forum membabitkan ASEAN pada WEF 2025 termasuk mesyuarat “ASEAN Leaders for Just Energy Transition”, taklimat media bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness” dan sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”.– BERNAMA