Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 bakat tempatan akan mula dilatih dengan kemahiran digital dalam tempoh dua tahun ini, sejajar usaha memacu aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau pembangunan tenaga kerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata program latihan kemahiran itu menggabungkan kepakaran global menerusi pembabitan syarikat teknologi gergasi India, HCL Technologies.

Katanya, ia memfokuskan tiga bidang utama iaitu kecerdasan buatan (AI), sains data dan teknologi maklumat (IT). 

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menyediakan peruntukan RM20 juta bagi membiayai sebahagian kos latihan itu tahun ini.

“PERKESO dan HRD Corp komited membiayai bersama latihan untuk 5,000 pencari kerja dalam bidang AI, sains data dan teknologi maklumat menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sim berkata, latihan kemahiran digital itu turut membabitkan elibatkan penyertaan dan komitmen kementerian lain bagi memenuhi sasaran 10,000 orang. 

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian Memorundum Persefahaman (MoU) antara PERKESO, HRD Corp dan HCL Technologies Malaysia Sdn Bhd di ibu pejabat PERKESO, di sini.

Majlis menandatangani MoU itu diwakili oleh Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed; Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood serta Naib Presiden Korporat HCL Technologies, Srimathi Shivashankar.

Sim berkata, pemeteraian MoU itu adalah hasil misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke India bertemu rakan sejawatannya, Narendra Modi, pada Ogos lalu.

“Kita bincang di India tahun lalu adalah seramai 10,000 orang tapi untuk tahun ini, kita sasarkan 5,000 orang dilatih iaitu di peringkat KESUMA.

“Mereka yang akan dilatih termasuk pelajar dan peserta dalam latihan.

“Mereka akan menjalani latihan selama tiga hingga enam bulan,” katanya sambil menambah pekerja yang diberhentikan juga boleh menyertai program latihan terbabit.

Kumpulan pertama pelatih dijadual bermula awal tahun ini, dengan permohonan dibuka di portal MYFutureJobs.

HCL Technologies yang beribu pejabat di India adalah syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan perundingan yang mempunyai rangkaian di 60 negara.-BH Online