KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini selepas melalui pelbagai perbincangan dan penambahbaikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata skop kerja sosial sangat luas dan membabitkan pelbagai kementerian serta pihak berkepentingan.
Justeru, katanya, proses perbincangan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan rang undang-undang itu dapat memenuhi keperluan semua pihak terbabit.
“Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama pasukan beliau sudah mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkara berkaitan RUU ini.
“Terdapat beberapa peruntukan baharu yang ditambah bagi memastikan ia lebih komprehensif dan relevan dengan keadaan semasa,” katanya selepas merasmikan Program Sanjungan Ilmu anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM), di sini, hari ini.
Nancy berkata pihaknya menyasarkan menghantar semula draf RUU itu kepada Jabatan Peguam Negara (AG) bulan depan untuk penelitian lanjut sebelum dibawa ke Parlimen.
Katanya, pihaknya tidak mahu ia dihantar berulang kali semula selepas ini.
“Beberapa isu yang sebelum ini dibangkitkan oleh AG juga sedang diteliti oleh pasukan baharu. Oleh itu, kita akan usahakan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.
Nancy berkata perubahan dan perkembangan terkini di negara ini memerlukan penyesuaian dalam RUU berkenaan.
Oleh itu, katanya, pembabitan kementerian lain adalah penting untuk memastikan ia lebih menyeluruh dan berkesan.
“RUU ini amat penting untuk memartabatkan profesion kerja sosial di Malaysia dan memastikan golongan profesional dalam bidang ini dilindungi serta mempunyai garis panduan yang jelas,” katanya.
Nancy optimis usaha itu akan memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan khidmat kerja sosial profesional.-BH Online