Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan inisiatif pemberian bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan program perpaduan di negara ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berharap NGO yang menerima bantuan akan dapat terus berganding bahu dengan kementerian dalam meluaskan usaha capaian dan memperkukuhkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan.

Katanya, tahun lalu sebanyak 78 program perpaduan diterajui NGO melalui kerjasama kementerian dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 621,739 peserta.

“Bagi tahun 2025, kementerian memberikan fokus kepada penganjuran program yang berteraskan kepada harmoni dalam kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa.

“Melalui penerapan dua fokus ini dalam program yang bakal dianjurkan, usaha untuk memperkasakan hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat dan pembinaan identiti nasional akan dapat direalisasikan,” katanya ketika melancarkan Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) di sini, hari ini.

Aaron berkata tatakelola yang baik adalah satu aspek kritikal bagi kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Perancangan tatakelola yang konkrit dapat menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan.

“Semua ini menyumbang kepada wujudnya satu pentadbiran yang MADANI, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik,” katanya.

Aaron berkata selaras dengan reformasi perkhidmatan awam dan amalan tatakelola, permohonan bantuan bagi melaksanakan program perpaduan akan diuruskan secara dalam talian.

Katanya, penambahbaikan yang dibuat melalui portal BKPP ini adalah satu manifestasi bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan.

“Dengan adanya portal ini, diharapkan proses permohonan dan kelulusan bantuan kewangan kepada NGO akan menjadi lebih efisien,” katanya.

Aaron juga berharap melalui proses ini ia akan membantu mempermudahkan urusan serta mengurangkan sebarang kekangan yang dihadapi oleh NGO sekali gus mempercepatkan pelaksanaan program perpaduan dicadangkan.-BH Online