Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelajar kemasukan baharu di 232 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA diwajibkan melalui ujian asas fardu ain termasuk kelancaran bacaan al-Fatihah. 

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau mengarahkan ujian khas terbabit diperkenalkan berikutan ada kalangan pelajar institusi itu dikenal pasti lemah dalam aspek agama.

“Saya minta supaya semua pelajar latihan TVET GiatMARA wajib melalui ujian khas bacaan Al-Fatihah dan fardu ain.

“Mungkin ada pihak memandang remeh, tapi daripada pengalaman pegawai GiatMARA ada pelajar yang tunggang langgang bacaan al-Fatihah mereka. 

“Jika al-Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadat asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek fardu ain dan bacan al-Quran yang lain,” katanya kepada BH. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, jika tahap pencapaian tidak mencapai prestasi diharapkan, MARA akan menyediakan peruntukan khas bagi program intervensi berstruktur.

“Program intervensi ini akan dilaksanakan secara berstruktur bagi diintegrasikan dalam kurikulum dan silibus latihan kemahiran TVET. 

“Contohnya, kelas kemahiran fardu ain khas termasuk pengajian Al-Quran akan turut dilaksanakan disamping aspek latihan kemahiran mengikut program tertentu,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata agenda TVET Negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jati diri dan kerohanian. 

“Kita tidak mahu sekadar melahirkan pekerja mahir tetapi pekerja yang punya jati diri, akal budi dan sahsiah terpuji. 

“Elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jati diri ini juga mesti diperkasakan” katanya. 

Asyraf Wajdi berkata bagi memartabatkan agenda TVET, MARA wajib mengambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program itu yang berimpak tinggi dan pada masa sama, memberi penekanan kepada aspek pembinaan insaniah holistik dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi. 

“Usaha ini selari dengan agenda kerajaan dan aspirasi Pengerusi Majlis TVET Negara (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). 

“Ini kerana MARA adalah institusi terbesar dalam penyediaan program TVET dengan sebanyak 270 Institut Pendidikan MARA (IPMA) yang menawarkan pelbagai kursus TVET termasuk 232 GiatMARA seluruh Malaysia,” katanya.-BH Online