Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas pelantikan rasmi beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Trump bagi memperkukuhkan hubungan teguh, saling melengkapi dan melihat ke hadapan antara Malaysia dengan AS.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri turut mengundang Presiden itu ke Malaysia, sekali gus mengesahkan semula pembabitan baharu AS dengan rantau ini.
“Presiden Trump membawa pendekatan unik kepada menangani cabaran domestik dan global, dibuktikan oleh peranan pentingnya dalam membantu (pelaksanaan) gencatan senjata di Gaza, malah sebelum pelantikan rasmi beliau.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama tatkala pentadbiran Trump berusaha melakar zaman kegemilangan baharu bagi Amerika,” kata Anwar dalam catatan melalui Facebook beliau, hari ini.
Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden AS pada Isnin.-BH Online