Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Malaysia bakal membentangkan beberapa cadangan bidang keutamaan dan keberhasilan kepada rakan negara anggota pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dijadual bermula esok.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan mempengerusikan sesi pemukiman itu, dijangka memberi tumpuan dalam bidang politik keselamatan, ekonomi dan sosio budaya serantau.

Usaha itu bertujuan menjadikan rantau ASEAN lebih bersepadu, inklusif dan mampan, sekali gus memperkukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara anggota.

Sesi pemukiman itu juga akan membincangkan hala tuju strategik ASEAN, termasuk usaha memperkukuh pembangunan Komuniti ASEAN dan hubungan luar ASEAN.

Pada masa sama, mesyuarat itu juga akan membincangkan tindakan susulan kepada keputusan yang dicapai Pemimpin ASEAN ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 dan Sidang Kemuncak di Vientiane, Laos, pada Oktober tahun lalu. 

Selain itu, barisan Menteri Luar ASEAN akan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini isu serantau dan antarabangsa termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Mohamad juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu pengukuhan ASEAN serta hubungan dua hala.

Sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) adalah mesyuarat berjadual pertama dikendalikan di bawah Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang baharu.

Mesyuarat ini menyaksikan kehadiran Menteri Luar dan pegawai kanan negara anggota ASEAN dengan Menteri Luar Negeri Timor-Leste dijemput sebagai Pemerhati ASEAN. 

Turut serta dalam mesyuarat ini adalah Setiausaha Agung ASEAN dan wakil dari Myanmar.-BH Online