Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Malaysia memperkukuh peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 apabila berjaya menggariskan Keutamaan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverables, PED) semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 yang berlangsung dari 14 hingga 15 Januari di PARKROYAL Langkawi Resort, Kedah. 

Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan Republik Rakyat China (PRC), dengan kehadiran 135 pegawai serta delegasi daripada kementerian kewangan dan bank pusat negara anggota ASEAN+3 termasuk Republik Korea dan Jepun. 

**Keutamaan Ekonomi ASEAN 2025** 

Malaysia mencadangkan tiga keutamaan utama ASEAN bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif: 

1. Memperluas akses pembiayaan untuk peralihan iklim yang adil dan mampan. 

2. Mempercepat pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih inklusif dan terhubung. 

3. Memajukan sistem pembayaran segera yang inklusif di rantau ini. 

Dalam kerangka ASEAN+3, empat keutamaan tambahan turut dipersetujui, termasuk memperkukuh keahlian dalam fasiliti insurans risiko bencana (SEADRIF) dan meningkatkan kredibiliti Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) melalui peralihan daripada ikrar kepada modal berbayar. 

null

**Inisiatif Baharu Hadapi Risiko Bencana** 

Mesyuarat turut membincangkan Pelan Hala Tuju Pembiayaan Risiko Bencana (DRFI) 2026-2028 yang bertujuan menangani kerentanan serantau terhadap bencana alam. Cadangan penubuhan platform baharu untuk perbincangan dasar fiskal ASEAN+3 di peringkat menteri turut dibentangkan. 

Malaysia diwakili oleh YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), manakala PRC diwakili Zhang Minwen, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kewangan PRC. 

Bank Negara Malaysia pula diwakili oleh Puan Ida Harniza Johar, Pengarah Jabatan Antarabangsa, manakala Bank Pusat PRC diketuai oleh Chen Jing, Timbalan Ketua Pengarah. 

**Persediaan Sebagai Pengerusi ASEAN 2025** 

Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN dengan fokus kepada tiga tonggak utama ASEAN – Komuniti Ekonomi, Keselamatan Politik dan Sosio-Budaya. 

Mesyuarat susulan dijadualkan berlangsung di Xiamen, China pada Mac 2025 sebelum dibentangkan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 yang dijadualkan Mei 2025. 

Kementerian Kewangan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah, LADA serta agensi kerajaan yang memastikan kelancaran mesyuarat ini.-BH Online