Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Syarikat penerbangan MASwings kini sah milik kerajaan Sarawak, demikian menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengumumkan perkembangan itu selepas Majlis Amanat Perdana sempena ulang tahun kelapan beliau menerajui kerajaan Sarawak hari ini, Abang Johari berkata, perjanjian pengambilalihan syarikat penerbangan berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Hari ini, saya ingin mendedahkan berkenaan MASwings, ….semuanya sudah beres.

“Maksudnya kita sudah mengambil alih dan tidak lama lagi ada majlis menandatangani perjanjian (pengambil alihan) yang dijangka dilaksana dalam masa sebulan lagi,” katanya.

Menurutnya, proses terakhir rundingan antara juruaudit kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) berhubung pengambilan semua aset MASwings termasuk pengendalian darat di semua lapangan terbang di Sarawak sudah dimuktamadkan.

Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi membuka lebih banyak laluan penerbangan terus dari Sarawak ke destinasi antarabangsa.

Antara destinasi antarabangsa yang dirancang adalah Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok di Thailand, Jakarta di Indonesia dan Frankfurt di Jerman.

Sementara itu, mengulas potensi Sarawak untuk membekal tenaga ke Sabah dan Brunei, Abang Johari berkata, ia akan dapat dilaksanakan selepas 2027 apabila loji Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) bernilai RM2 bilion, 500 MW di Miri, siap menjelang 2027 sepenuhnya.

“Kita sudah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Sabah untuk membekalkan 50 megawatt (MW) tenaga ke negeri itu.

“Bagaimanapun, kini Sabah meminta tambahan sehingga 100 MW manakala Brunei masih dalam rundingan dan negara itu belum menetapkan kapasiti tenaga yang mereka perlukan.

“Kita sedang lihat keupayaan kita dari sudut pengeluaran tenaga kerana pada 2027 kita dijangka akan dapat menjana 2000 MW tenaga dengan siapnya tiga loji CCGT di Bintulu yang setiap satu berkapasiti 500MW dan ditambah dengan 500MW di loji CCGT di Miri,” katanya.-BH Online