Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Persediaan kerajaan dalam melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bermula hari ini, adalah pada tahap terbaik, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, persediaan termasuk dari segi penginapan, kesihatan serta makanan untuk pelatih itu bertujuan memastikan program terbabit berjalan lancar.

“Program hari ini adalah perintis dan akan ada lagi tiga siri latihan PLKN, tahun ini.

“Kita akan meneliti perjalanan semua siri latihan ini dan melakukan penambahbaikan jika ada sebarang kekurangan,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, malam ini.

Pagi tadi, seramai 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri di kem berkenaan bagi mengikuti PLKN 3.0 yang bermula secara rasmi hari ini selepas tujuh tahun dimansuhkan.

Pelaksanaan semula program dijalankan secara berperingkat itu bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia, selain melengkapi mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup melalui pengalaman latihan fizikal serta mental.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir secara sukarela bagi menjalani program berkenaan.

Selain menanam semangat patriotisme, beliau berkata, PLKN 3.0 juga berperanan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta.

“Negara kita adalah sebuah negara majmuk. Kekuatan negara hanya boleh datang sekiranya (rakyat) sama-sama mempunyai semangat hormat-menghormati dan toleransi menerima antara satu sama lain.

“Ia seperti apa yang Perdana Menteri kata… bukan saja soal kenal tetapi sayang dan cinta antara satu kaum dengan kaum yang lain. Maka hanya dengan demikian, baru negara kita kuat,” katanya dalam ucapan. 

Beliau kemudian turut meninjau dewan makan dan penginapan peserta.-BH Online