SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM200 kepada lebih 48,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bantuan itu yang membabitkan peruntukan hampir RM10 juta, akan disalurkan sebelum Mac atau sambutan Aidilfitri.
“Sumbangan RM200 ini membabitkan semua penjawat awam Persekutuan seperti tentera, polis, guru-guru dan lain-lain agensi yang berkhidmat di Negeri Sembilan.
“Pemberian ini sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka dalam memberikan kerjasama dengan agensi yang sedia ada.
“Ini memberikan kita kepercayaan yang kita rasai pada hari ini kerana itu saya rasa wajar dan dengan pemberian RM200, saya yakin akan memberikan satu tanda ingatan daripada kerajaan negeri kepada mereka semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 dan Pra Pelancaran Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan dan negeri.
Pada November lalu, Aminuddin mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri itu.
Bantuan berkenaan akan diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pembayaran akan dilakukan pada Januari dan sebelum Aidilfitri Mac tahun 2025.
Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu, Menteri Besar memaklumkan mengenai prestasi pentadibiran kerajaan negeri yang mencapai lebihan pendapatan untuk tiga tahun berturut-turut.
“Suka saya umumkan, sehingga 31 Disember 2024, hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM636 juta bersamaan 122.31 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM520 juta.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan mencerminkan dedikasi, integriti, dan usaha gigih seluruh penjawat awam di Negeri Sembilan.
“Inilah hasil muafakat dan integrasi gabungan muka lama dan baharu anggota pentadbiran kerajaan yang berdiri teguh bersama kerajaan Negeri.
“Namun, saya ingin mengingatkan bahawa pencapaian ini bukan alasan untuk kita berasa selesa, sebaliknya, ia adalah tanggungjawab untuk terus meningkatkan prestasi dan memastikan setiap sen yang dikutip digunakan dengan cekap, berhemah serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.-BH Online