Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Melaka mengambil inisiatif melaksanakan sistem digital bagi mengenal pasti pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya.

Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata semua penternak di negeri itu bakal diwajibkan mendaftar dalam sistem berkenaan dengan setiap haiwan ternakan mereka ‘dibekalkan’ kod QR.

Melalui kod QR berkenaan akan dinyatakan alamat pemilik haiwan ternakan terbabit untuk memudahkan tindakan penguatkuasaan jika haiwan berkeliaran.null

“Inisiatif ini dilakukan melalui pewartaan terhadap undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan setiap penternak berdaftar dengan sistem berkenaan.

“Ia dilakukan dengan kerjasama PBT di setiap daerah dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Setiap penternak diwajibkan berdaftar dalam tempoh tiga bulan dengan pihak PBT di daerah masing-masing. Bagi haiwan ternakan yang ditemui berkeliaran di jalan raya, ia akan ditangkap dan dilelong dalam tempoh dua minggu jika pemilik tidak membuat tuntutan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Melaka, semalam. null

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Melaka, Datuk Azhar Arshad. 

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata sistem digital juga dikuatkuasakan kepada golongan penarik beca di Melaka. 

Penarik beca mesti berdaftar dalam sistem digital ini dengan semua maklumat mereka disalurkan dalam bentuk kod QR yang boleh diimbas oleh pelanggan. 

“Dengan adanya inisiatif ini, kita dapat melindungi keselamatan pelanggan daripada ditipu kadar harga bagi setiap jarak perjalanan mereka. 

“Melalui sistem ini juga, kita dapat mengenal pasti 270 penarik beca, selain mengesan lebih 100 penarik beca haram,” katanya.-BH Online