KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meraikan rakan sejawat dari Singapura, Lawrence Wong, dalam satu majlis makan malam di Rumah Tangsi, di sini, hari ini.
Anwar menyambut ketibaan Wong di Rumah Tangsi kira-kira jam 8.20 malam tadi, disusuli perbincangan empat mata secara tertutup sambil menjamu selera selama hampir dua jam, berkaitan usaha meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Wong tiba di Malaysia, hari ini, bagi memulakan lawatan rasmi dua hari untuk Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 yang dijadualkan berlangsung, esok.
Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya ialah pada 11 Jun tahun lalu.
Wong akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok, diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Anwar.
Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU) serta satu surat niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, dan juga usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.-BH Online