Tumpat: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) menjangkakan harga sayur kembali stabil menjelang Mac tahun depan selepas tamat Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya maklum dengan kenaikan harga sayur yang berlaku sehingga empat kali ganda.
Bagaimanapun katanya, situasi itu adalah perkara biasa memandangkan musim tengkujuh dan pihaknya akan mengatasi masalah berkenaan.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memainkan peranan bagi memastikan bekalan sayur mencukupi supaya harga kembali stabil.
“Kita jangka keadaan ini hanya sementara dan tidak lama. Mungkin selepas MTL keadaan kembali stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) fasa 2 kepada pesawah terjejas banjir di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Khalid Abdul Samad.
Media sebelum ini melaporkan, pengeluaran pelbagai jenis sayur di kawasan tanah tinggi Lojing terjejas sehingga 40 peratus berikutan hujan, sejak bulan lalu.
Pada masa sama, suhu yang terlalu sejuk sehingga mencecah 7 darjah celsius pada waktu malam serta 19 darjah celsius waktu siang turut merencatkan dan merosakkan tanaman sayur-sayuran berkenaan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penanam Bunga dan Sayur Bumiputera Tanah Tinggi Lojing, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan harga sayur meningkat.
Tinjauan di pasar di Kelantan turut mendapati harga sayur meningkat tiga hingga empat kali ganda sejak bulan lalu berikutan musim tengkujuh.-BH Online