SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYSiswa kepada RM400 daripada RM300 seorang bermula 1 Januari 2025.
Perkara itu diumumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Flysiswa 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah antara ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban pelajar universiti dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan isu tiket penerbangan yang agak tinggi apabila ingin pulang ke negeri masing-masing.
“Saya umumkan (bantuan subsidi pembelian tiket) naik RM400.
“Ini cara kita untuk tunjuk keprihatinan kerajaan ringankan sedikit beban anak-anak dari negeri yang terbabit,” katanya.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, , Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.
Bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 74,500 pelajar daripada universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan matrikulasi seluruh negara dengan menggunakan kos sebanyak RM24 juta.
Inisiatif berkenaan dijangka akan memanfaatkan oleh pelajar yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan pada 2023 hingga Selasa lalu, seramai 74,500 orang pelajar (73 peratus) daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.
Ia merangkumi 37,551 (75 peratus) daripada 50,095 pada tahun lalu dan 36,949 pelajar atau 71 peratus daripada keseluruhan 52,055 pelajar sehingga Selasa lalu, sudah menebus baucar digital masing-masing dengan syarikat penerbangan negara.-BH Online