PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengundang syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melakukan pembuktian konsep (POC) penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan keselamatan di sempadan negara, terutama membabitkan lorong tikus.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan mahu pengawasan di sempadan negara khususnya antara Malaysia dan Thailand dipertingkat dengan penggunaan teknologi baharu dan terkini.
“Sekarang ini kecenderungan kita mengawasi jalan tikus atau pintu masuk rasmi adalah menggunakan teknologi semasa.
“Kita akan tengok sehingga betul-betul puas hati dalam erti kata mengawal keselamatan sempadan termasuk keselamatan atau potensi ancaman membabitkan jalan tikus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan, sejumlah 281 lokasi lorong tikus dikenal pasti dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.
Daripada jumlah itu, 154 berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi membabitkan 128 laluan.
Mengenai cadangan pembinaan tembok kekal di sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin berkata, pembinaannya akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi.
“Pagar ini mahal dan penyelenggaraannya juga mahal. Jadi, zaman berubah, mungkin sesuai pada ketika itu,” katanya.-BH Online