Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Perlombongan rintis lantanida atau unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang diusahakan Kerajaan Perak, ialah antara faktor negeri ini perlu menjalin hubungan baik dengan negara luar khususnya Singapura, terutama bagi tujuan perdagangan produk akhir hasil mineral itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata malah hubungan baik antara Perak dengan Singapura bukan lagi asing, terutama melalui platform Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

“Kita mesti ada hubungan baik juga dengan jiran lain di luar IMT-GT, khususnya negara ASEAN yang lain, kerana kita ada keperluan untuk berdagang dengan mereka, terutama apabila kita ada hasil mahsul NR-REE atau lantanida.

“Keperluan untuk kita berdagang dengan negara-negara jiran adalah penting sebab kita tidak boleh eksport NR-REE mentah melainkan produk akhir seperti magnet, kenderaan elektrik dan sebagainya.

“Mengikut sejarah, kebanyakan pemimpin Singapura, datuk dan nenek moyangnya berasal dari Perak, menjadikan kebanyakan mereka datang ke Perak. Selain mengunjungi rakan taulan dan keluarga, mereka juga membawa hubungan baik pemimpin kerajaan di Perak dengan pemimpin Kerajaan Singapura,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) mengenai potensi Perak menjalinkan kerjasama pelaburan dengan negara ASEAN, khususnya Singapura, berikutan Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

Menjawab soalan lisan Abdul Aziz mengenai perincian lawatan delegasi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, ke negeri ini pada Oktober lalu, Saarani berkata, peluang itu digarap Kerajaan Perak dengan memberi penerangan ringkas berkenaan pelan tindakan Perak Industrial Blueprint (P3) yang sedang dan akan memacu pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan dan ekonomi digital.

Sepanjang sesi itu, katanya, antara perkara dibincangkan ialah berkaitan sektor ekonomi dan pelaburan dengan menekankan potensi serta peluang kerjasama pelaburan membabitkan projek-projek berkepentingan tinggi negeri.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Unit Perancang Ekonomi Negeri, Singapura sudah melabur sebanyak RM5.6 bilion ke Perak bagi 144 projek dari 1990 hingga 2024, dengan yang tertinggi membabitkan sektor pembuatan (RM5.5 bilion) dan perkhidmatan (RM51.7 juta).

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Saarani berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang menghantar pasukan untuk membantu mangsa banjir di negeri lain, akan turut bersiap sedia dengan gelombang kedua banjir di Perak yang dijangka bermula 8 Disember ini.

“Buat sementara ini, beberapa NGO pergi atas inisiatif sendiri, selain UMNO dan parti-parti politik serta ada belia yang secara persendirian pergi ke Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Namun pada masa sama, kita juga minta mereka bersiap sedia dalam negeri kerana kita tengok ada amaran gelombang kedua banjir yang akan bermula 8 hingga 14 Disember. Saya minta Pegawai Daerah Hulu Perak turut melihat ini sebab amaran gelombang kedua itu termasuk di Hulu Perak.

“Jika hujan di Temenggor atau di (Hutan) Royal Belum, sudah pasti Sungai Perak akan dilimpahi air dan mahu tak mahu empangan akan melepaskan air menyebabkan keseluruhan kawasan sepanjang Sungai Perak itu akan (berpotensi) banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rimba Adventures Sdn Bhd bagi penganjuran perlumbaan motosikal lasak Rimba Raid di Perak, di bilik sidang media DUN Perak, hari ini.-BH Online