Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR MAS: Kekurangan bekalan beras akibat industri penanaman padi yang terkesan oleh bencana banjir akan ditampung melalui penurunan harga jualan beras putih import yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kekurangan itu tidak dapat dielakkan kerana penanaman padi merupakan sektor yang paling terjejas akibat banjir, diikuti oleh sektor sayuran, penternakan dan pemeliharaan ikan.

“Jadi, kemungkinan kekurangan beras ini kita akan tampung dengan beras import yang turun harga dan berada pada harga yang baik di pasaran antarabangsa ketika ini.

“Harga import ini boleh naik kepada RM3,200 hingga RM3,300 (per tan metrik) tetapi kini berada pada paras RM2,800,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan menerima taklimat situasi semasa banjir negeri di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu di sini hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa penurunan harga itu tidak akan memberi kesan kepada pesawah kerana produktiviti beras tempatan masih berada pada tahap 56 peratus daripada pasaran, sedangkan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 61 peratus.

Mohamad menjelaskan ketika Kelantan menghadapi kemarau panjang dalam dua musim padi sebelumnya, ia telah menyebabkan kekurangan bekalan sebanyak empat peratus di seluruh negara dan banjir kali ini dijangka menambah lagi kekurangan tersebut.

Menurutnya setakat ini kerugian akibat sektor pertanian di Kelantan dianggarkan sebanyak RM16 juta, namun jumlah tersebut dijangka meningkat selepas bancian akhir dibuat.

Beliau berkata pelbagai jenis aktiviti pertanian yang melibatkan keluasan keseluruhan 4,800 hektar telah terjejas akibat banjir di Kelantan tahun ini.

“Oleh itu, kementerian melalui KADA dan agensi lain akan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai situasi ini bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada para petani, khususnya pesawah padi,” katanya.

“Perancangan awal bagi pesawah padi yang mempunyai skim sendiri adalah pembayaran bantuan pada kadar RM1,000 hingga RM1,800 sehektar, bergantung kepada umur padi,” katanya.

Mohamad turut berkata bentuk bantuan akan diberikan mengikut kadar sedia ada tetapi jika peruntukan tambahan boleh disediakan, kementerian akan berusaha untuk membantu memulihkan mereka yang terjejas.

Media melaporkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) telah bersetuju untuk menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa hari ini.– BERNAMA