SHAH ALAM: Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) perlu berkembang seiring dengan perubatan moden terutama dalam era digitalisasi ini.
Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa cabang TCM itu disepadukan ke dalam amalan perubatan moden melalui proses pendigitalan.
Beliau berkata, inisiatif itu dapat memastikan penduduk khususnya di kawasan luar bandar turut mendapat manfaat daripada TCM.
“Kita mahu amalan TCM yang kini banyak ditawarkan di fasiliti kesihatan awam, mengadaptasi perkembangan terkini supaya ekosistem digital diwujudkan serta kedua bidang perubatan itu dapat diintegrasikan melalui teleperubatan, terutama bagi mereka yang tinggal jauh.
“Amalan ini (teleperubatan) biasa dilakukan di Lembah Klang serta bandar besar, tetapi kawasan terpencil juga akan mendapat manfaat jika mereka menggunakan teleperubatan dan konsultasi dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Perubatan Tradisional dan Komplementari yang ke-10 (INTRACOM ke-10) 2024 di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Nor Azimi Yunus; Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy dan Pengarah Bahagian TCM, Dr Goh Cheng Soon.
Dalam ucapannya, Dzulkefly berkata, kemajuan teknologi seperti platform teleperubatan, aplikasi kesihatan mudah alih dan analisis data berpotensi dilaksanakan TCM untuk mendemokrasikan akses kepada perubatan tradisional dan membenarkan amalan terbaik rentas sempadan dan perkongsian pengetahuan.
Selain itu katanya, TCM juga membolehkan individu dari semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada kemajuan dan keberkesanan TCM serta merapatkan jurang antara pengamal dan pesakit.
“Ia juga penting untuk memastikan inovasi ini sensitif dari segi budaya dan menghormati amalan yang mereka cuba lakukan integrasi.
“Kerjasama antara pengamal TCM, profesional perubatan dan pakar teknologi akan menjadi kritikal dalam hal ini,” katanya.
Dalam acara yang sama, beliau turut melancarkan dokumen Keutamaan Penyelidikan dalam TCM untuk Malaysia 2024-2029, rujukan asas yang akan membuka jalan ke hadapan untuk penyelidikan berstruktur dan terancang dalam penyelidikan yang dikenal pasti membabitkan bidang TCM yang luas.-BH Online