KUANTAN: Kerajaan Pahang mengesan aktiviti pencerobohan tanah dianggarkan seluas 400 hektar milik kerajaan itu dengan tanaman durian di kawasan Sungai Perdak, Mukim Sabai, Bentong, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata aktiviti terbabit dikesan hasil daripada serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang turut menyita rumah dan peralatan di kawasan terbabit.
Katanya, berdasarkan serbuan, kawasan terbabit terletak di kawasan tersorok antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dan bersempadanan dengan tanah Negeri Sembilan.null
“Hasil siasatan mendapati kawasan tersebut telah ditanam dengan pokok durian. Sebagai langkah tegas, saya mengarahkan UPNP untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Malah, saya juga mengarahkan pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku.
“Kerajaan Pahang memandang serius aktiviti ini dan tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 426A(1)(c) KanunTanah Negara (Akta 828),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tanah dan mencemarkan integriti sumber alam negeri itu.
Katanya, aktiviti pencerobohan seperti itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi boleh memberikan impak buruk kepada alam sekitar dan komuniti setempat.
“Saya ingin menegaskan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penerokaan tanah secara haram akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Kerajaan Negeri akan memastikan semua tanah milik kerajaan dipelihara demi kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Pada masa sama, kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti penerokaan haram amatlah dihargai.
“Oleh itu sama-sama kita memastikan Pahang terus terpelihara dan bebas daripada aktiviti pencerobohan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.-BH Online