KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus menggalakkan anak muda menyertai sukan permotoran selamat menerusi kelas motocross dan kapcai.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata setakat ini sukan permotoran negara terus rancak dan berjaya meletakkan Malaysia di mata dunia.
Katanya, melalui Geran Padanan Sukan untuk kejohanan kebangsaan, pelumba negara, Mohd Akil Putra yang juga pemenang Kejohanan Motocross Malaysia 2023, berjaya layak ke Kejohanan Motocross Remaja Dunia di Belanda pada tahun ini.
“Kejohanan PETRONAS Grand Prix Motosikal Malaysia pada tahun ini, meraih kehadiran penonton tertinggi seramai 184,923 orang,” katanya ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi KBS di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai penggunaan Stadium Hoki Nasional, Hannah berkata sejumlah lima konsert diadakan sepanjang tahun ini.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang kerosakan pada permukaan Stadium Hoki Nasional kerana Perbadanan Stadium Nasional membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian dengan kerjasama pembekal turf hoki.
“Sebarang tempahan perlu mlalui proses pematuhan SOP yang ketat. Contohnya, menutup turf dengan pelapik yang disarankan oleh pembekal asal turf hoki bagi menampung berat.
“Untuk makluman juga, terdapat dua padang hoki di Stadium Hoki Nasional di mana padang kedua didedikasikan kepada pasukan hoki kebangsaan bagi tujuan pembangunan dan latihan.
“Bagi padang satu, keutamaan sentiasa diberikan kepada penganjuran acara hoki bertaraf antarabangsa dan kebangsaan.
Nisbah penggunaan stadium hoki adalah 60:40 dimana 60 untuk sukan dan 40 untuk bukan sukan.
“Acara konsert hanya akan dibenarkan sekiranya tidak bertembung dengan acara hoki,” katanya.
Mengulas berhubung sukan elektronik, Hannah berkata, ia sudah dimasukkan dalam Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 menerusi Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023 pada tahun lalu.
Katanya, pengiktirafan turut diberikan kepada atlet e-sports negara yang menyumbang pingat dalam temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.
Bagi kejayaan atlet e-sport di Sukan Asia Hangzhou 2023, sebanyak RM72,000 dibayar atas kejayaan atlet memenangi satu pingat perak dan pingat gangsa menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Bagi Sukan SEA Kembja 2022, sebanyak RM12,750 dibayar masing-masing untuk dua pingat perak dan gangsa,” katanya.-BH Online