Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Oleh: Noraini Nordin

PMX cemerlang lagi, potensi pelaburan RM32 bilion berjaya dijana hasil lawatan ke Korea Selatan .

Selepas pulang dari lawatan rasmi ke lima negara baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya melawat ke Korea Selatan pula.

Beliau melakukan lawatan rasmi selama tiga hari yang berakhir semalam setelah menerima jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

KUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA

Dalam sidang media di akhir lawatannya, Anwar berkata, lawatan rasmi beliau sejak Ahad lalu turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dan pertemuan bersama syarikat besar Korea Selatan juga membuka ruang serta peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.

Sehingga ini, katanya, kira-kira 400 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan.

MENAMBAH PELABURAN

Sebagaimana biasa dalam setiap kali lawatan Anwar ke luar negara, menambah pelaburan untuk negara adalah keutamaan beliau, selain untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Anwar berkata, pertemuan dengan ‘chaebol’ dan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan berjaya menjana potensi pelaburan berimpak yang tinggi untuk negara.

“Setakat ini potensi pelaburan yang berjaya dijana dari lawatan ini mencecah RM32.8 bilion dan eksport segera dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion,” jelas Anwar lagi.

Dalam lawatan ke Korea Selatan kali ini, potensi pelaburan yang berjaya dijana adalah daripada sektor kenderaan elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, teknologi hijau, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta hidrogen hijau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang turut menyertai lawatan bersama Perdana Menteri berkata, hanya Hyundai Motor sahaja membuat pengumuman rasmi selepas komitmen mereka berjaya diluluskan lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Hyundai Motor hari ini mengumumkan pelaburan AS$479 juta (kira-kira RM2.14 bilion) di Malaysia untuk lima tahun akan datang bermula 2025.

Hyundai Motor akan bekerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan untuk menaik taraf kilang pengeluarannya di Kulim, Kedah.

Kilang yang dinaik taraf itu dijadual memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan mini van Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.

Hyundai Motor memaklumkan, skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun dan rancangan pengembangan secara berperingkat.

Dalam pada itu secara berseloroh Anwar berkata,
“Saya juga ejen Kedah (dalam membawa pelaburan luar ke Kedah).

“Walaupun Sanusi (MB Kedah) ada plot untuk gagalkan pelaburan ke Kedah, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur di Kulim.

“Walaupun ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Pulau Pinang, (maka) kita cadang di Kulim,” tambah Anwar lagi.-Media Perpaduan