Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memberikan perhatian terhadap keperluan penggantian peralatan yang disifatkan sebagai ‘Beyond Economy Repair’ (BER) atau tidak lagi boleh diperbaiki dan komited memastikan semua aset dalam keadaan terbaik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga kini terdapat 102,646 peralatan perubatan yang berusia lebih 10 tahun yang masih aktif.

“KKM sentiasa memastikan peralatan ini boleh digunakan dengan baik dan optimum serta diselenggara mengikut ketetapan pengilang dan piawaian melalui program penyelenggaraan komprehensif bagi memastikan peralatan perubatan selamat digunakan,” katanya.null

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan pelbagai inisiatif diambil dalam usaha mengoptimumkan peruntukan tersedia terkait memastikan peralatan KKM dalam keadaan yang baik, antaranya melaksanakan perolehan peralatan secara sewaan agar peralatan dibekalkan sentiasa keadaan baik, mengikut perkembangan teknologi semasa serta diselenggara secara optimum mengikut standard yang ditetapkan;

Beliau berkata, KKM juga melaksanakan perolehan secara pusat untuk menambah kuasa beli KKM dan memastikan perolehan mendatangkan nilai untuk wang tanpa berkompromi terhadap kualiti peralatan perubatan diperoleh, di samping dapat menyelaraskan spesifikasi peralatan mengikut keperluan setiap perkhidmatan untuk mengelakkan pembaziran.

“KKM turut memperkenalkan konsep tender secara ‘reagent rental’ bagi membolehkan mesin-mesin analyser dapat dibekalkan ke semua hospital tanpa memerlukan peruntukan ‘one-off’ yang besar dan memperkenalkan rekod permohonan secara dalam talian melalui Sistem Maklumat program Perubatan (MPIS) supaya semua keperluan peralatan dapat direkodkan dengan efisien dan mudah.

“Sistem ini membolehkan data dikemas kini setiap masa dan dapat diteliti dengan lebih lanjut bagi menetapkan keutamaan sesuatu permohonan bagi melaksanakan perolehan penggantian secara bersasar,” katanya.

Tambah Dzulkefly berkata, dalam usaha sama KKM turut mempelbagaikan penggunaan sumber peruntukan yang diterima seperti Peruntukan Akaun Amanah, Peruntukan Rancangan Malaysia, Peruntukan Belanja Mengurus dan lain-lain, selain menerapkan konsep berasaskan bukti dalam perolehan peralatan perubatan. 

“Kesemua peralatan yang diperoleh dinilai secara kajian untuk memastikan peralatan perubatan yang diperoleh adalah benar-benar bermanfaat.

“KKM juga memantau secara berkala pelaksanaan perolehan peralatan agar perbelanjaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut perancangan selain dapat mengurangkan revot yang akan mengganggu perancangan penggantian peralatan yang telah ditetapkan.

“KKM juga dari semasa ke semasa akan berinteraksi dengan pihak-pihak yang berkenaan dalam usaha merangka pelan

dan perancangan strategik dalam mengatasi masalah ini,” katanya.

Berkenaan isu penggantian ambulans, Dzulkefly berkata pada masa ini, KKM sedang melaksanakan perolehan Fasa 1 membabitkan 590 unit kenderaan ambulans dan 41 unit ‘Patient Transport Service Vehicle’ (PTSV) dengan kos keseluruhan RM 265.5 juta. 

Di samping itu, KKM juga diberikan kelulusan peruntukan RM304 juta di bawah perolehan Fasa 2 kenderaan ambulans.

“Bagi kenderaan lain, sehingga November 2024, KKM telah menerima permohonan penggantian kenderaan bagi hospital dan institusi khas KKM sebanyak 75 unit dengan nilai RM 11.6 juta, yang mana permohonan ini untuk menggantikan kenderaan yang telah uzur, BER dan perlu dilupuskan,” katanya.-BH Online