PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka membentangkan beberapa rang undang-undang (RUU) di Parlimen dalam tempoh terdekat sebagai bukti komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap reformasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata RUU terbabit juga mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi serta menambah baik institusi di negara ini.
“Apa yang disebut oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), semestinya kerajaan meneliti pandangan dari pelbagai pihak dan akan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan selain daripada usaha serta ikhtiar penambahbaikan perubahan termasuk reformasi institusi.
“Insya-Allah, dalam tempoh berbaki bagi sidang Parlimen kali ini, Datuk Seri Azalina Othman said akan membawa beberapa RUU yang mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi ataupun menambah baik institusi,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan BERSIH yang memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.-BH Online