KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menjana penjimatan kira-kira RM600 juta sebulan melalui penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan sejak Jun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan dari segi penjualan bahan api itu daripada stesen minyak sebanyak kira-kira 25 peratus atau hampir tujuh juta liter sehari.
“Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak dari segi penjualan diesel daripada stesen minyak iaitu sekitar 25 peratus atau hampir tujuh juta liter sehari mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan.
“Sementara, jualan diesel secara komersil pula menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau empat juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta menteri kewangan menyatakan keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.
Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, lebih 140,000 penerima bantuan tunai BUDI Individu dan 65,000 penerima BUDI Agri-Komoditi diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Beliau berkata, ia membabitkan jumlah bayaran sebanyak RM160 juta sehingga 31 Oktober lalu.
“Bantuan BUDI MADANI membabitkan sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun disediakan untuk golongan petani, pekebun kecil serta pemilik persendirian kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan ditetapkan,” katanya.
Pada masa yang sama, Amir Hamzah berkata, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal dan menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Konsumer (CPI) 2.0 peratus pada Julai, 1.9 peratus (Ogos) dan 1.8 peratus pada September lalu.
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel membabitkan kenaikan harga pam diesel di stesen minyak Semenanjung Malaysia kepada harga tanpa subsidi, iaitu RM3.35 seliter sejak 10 Jun lalu.
Amir Hamzah berkata, bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas, kerajaan turut diperkenalkan bantuan tunai untuk pemilik kenderaan diesel individu dan petani berskala kecil serta diperkenalkan subsidi khusus untuk sektor logistik.
“Subsidi sektor pengangkutan barangan darat membabitkan 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) dengan menggunakan kaedah ‘fleet card’.
“Sektor pengangkutan awam dan nelayan masih dikekalkan masing-masing pada kadar RM1.88 dan RM1.65 seliter dan sektor pengangkutan barangan darat kekal membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 iaitu harga pam sebelum 10 Jun lalu,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan subsidi membabitkan an penggunaan oleh golongan yang tidak sepatutnya berikutan perbezaan harga petrol yang besar.
Beliau berkata, berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol bagi segmen bukan warganegara, komersial dan aktiviti penyeludupan mencecah 40 peratus daripada kadar penggunaan keseluruhan petrol.
“Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 sekitar RM20 billion setahun, jika ketirisan (subsidi petrol) terhadap warga asing, komersial dan golongan kaya dapat ditangani ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 billion setahun,” katanya-BH Online