Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

WASHINGTON: Calon Parti Demokrat Kamala Harris pada Ahad berjanji untuk melakukan segala yang terdaya untuk menamatkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung sekiranya beliau dipilih sebagai presiden, lapor Agensi Anadolu.

Dalam ucapan yang disampaikan hanya dua hari sebelum pilihan raya Amerika Syarikat (AS), Harris menyifatkan tahun ini adalah sukar memandangkan skala kematian dan kemusnahan di Gaza serta korban awam dan pemindahan paksa penduduk di Lubnan.

“Ia amat dahsyat dan sebagai presiden, saya akan melakukan segala-galanya untuk menamatkan konflik di Gaza, membawa pulang tawanan, menamatkan penderitaan di Gaza, memastikan keselamatan Israel, dan memastikan rakyat Palestin dapat merealisasikan hak mereka untuk maruah, kebebasan, keselamatan, dan penentuan nasib sendiri,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh semasa perhimpunan kempen di negeri medan pertempuran (battleground state) penting, Michigan.

Harris amat memerlukan kemenangan di tujuh negeri medan pertempuran penting dalam kitaran pilihan raya tahun ini di tengah-tengah persaingan sengit dengan bekas Presiden dan calon Republikan Donald Trump di peringkat nasional.

Kompilasi tinjauan yang disusun oleh laman sesawang RealClearPolitics menunjukkan Trump mendahului hanya 0.1 peratus di peringkat nasional, dengan lima tinjauan menunjukkan mereka terikat.

Michigan, dengan komuniti Arab dan Muslim yang besar serta 15 undi badan perwakilan pemilih yang dipertaruhkan, adalah penting untuk prospek pemilihan Harris.

Ia bersama-sama Arizona, Georgia, Nevada, Carolina Utara, Pennsylvania, dan Wisconsin dianggap sebagai negeri penentu pada tahun ini.

Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin — yang pernah dianggap sebagai kubu kuat Demokrat — sekali lagi menjadi medan pertempuran penting. Dikenali sebagai “tembok biru,” negeri-negeri ini jatuh kepada Trump pada 2016, tetapi berjaya dikembalikan oleh Presiden Joe Biden pada 2020.

Harris dan Trump masing-masing telah menghabiskan banyak masa berkempen di negeri-negeri ini dengan memahami bahawa mana-mana satu daripadanya boleh menentukan keputusan pilihan raya.

Pilihan Raya AS dijadualkan pada 5 Nov dengan rakyat Amerika akan menentukan bukan sahaja masa depan jawatan presiden tetapi juga Kongres serta beberapa pemilihan di peringkat negeri dan tempatan.

Lebih 78 juta rakyat Amerika telah mengundi awal, menurut data yang diterbitkan oleh Makmal Pilihan Raya Universiti Florida.– BERNAMA