Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Pemetaan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti 27,000 kawasan cerun di sepanjang jalan Persekutuan di Semenanjung dan Labuan, dengan 3,000 daripadanya dikategorikan kawasan berisiko.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pihaknya mengguna pakai Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS) berpusat di ibu pejabat JKR yang sentiasa memantau pergerakan tanah cerun.

“Kita turut mengadakan sistem amaran awal (EWS) di lokasi dijangka berlaku tanah runtuh, selain ada syarikat konsesi berkaitan cerun beroperasi sepenuh masa dan membuat rondaan setiap minggu untuk melihat keadaan cerun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan kerja Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan Persekutuan FT 185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley Daerah Kinta di Simpang Pulai, hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) turut melancarkan penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun sebagai rujukan semua pihak berkaitan.

Ia adalah dokumen rujukan dan panduan asas lengkap membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas kawasan cerun bagi mengenal pasti tahap bahaya serta risiko.

Pelancaran garis panduan itu dibuat sempena Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi Kerajaan Bagi Pengurusan Cerun (ICSM) ke-18 di Cameron Highlands, hari ini.

Ahmad berkata, garis panduan itu adalah antara pelan tindakan ditetapkan di bawah teras strategik Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).

PBRC menjadi salah daripada kerangka teras strategik digariskan dalam Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023.

Beliau berkata, garis panduan itu mengikut kawasan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pemetaan secara linear dihasilkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kedua-dua garis panduan ini akan menjadi rujukan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan, badan berkanun Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT), tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa berkenaan. 

“Panduan ini akan membolehkan data inventori cerun yang lengkap dihasilkan. Setiap data akan dianalisis manakala tahap bahaya serta risiko bagi setiap cerun dapat dikenal pasti,” katanya.

Blue Valley dikenal pasti awal antara lokasi berisiko di sepanjang Jalan Persekutuan dalam dokumen Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun, antaranya termasuk kejadian tanah runtuh di Seksyen 44.1 dengan anggaran kedalaman runtuhan setinggi 250 meter dan sepanjang 600 meter.

Ahmad berkata, kerja pembaikan cerun yang dimulakan pada 1 Julai 2022 dan dijangka siap Disember depan, membabitkan kos RM122 juta.

Sehingga 25 September lalu, ia mencapai kadar 33.31 peratus kemajuan kerja fizikal di tapak.

“Skop kerja bagi projek ini adalah kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja pengukuhan cerun, sistem perparitan, pencegahan dan amaran awal tanah runtuh,” katanya.

Beliau berkata, Kabinet juga meluluskan kerangka strategik dalam PICN 2009-2023 dilanjutkan sehingga 2030, selepas mengambil kira cuaca luar jangka seperti kekerapan hujan kebelakangan ini termasuk menjelang Monsun Timur Laut (MTL).-BH Online