Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak di Asia Barat segera meredakan ketegangan yang semakin meningkat bagi menstabilkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan agresif dan serangan berterusan oleh Israel di Lubnan, Syria dan Yaman adalah usaha yang disengajakan untuk mengalihkan perhatian komuniti global daripada kekejaman dan tindakan genosid yang ganas terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Peningkatan ketegangan berkenaan jelas bertujuan untuk memastikan pemimpin politik Israel yang sedia ada kekal berkuasa dan terlepas daripada hukuman, mengorbankan nyawa yang tidak bersalah demi kepentingan kerjaya politik seorang individu.

“Kita mesti segera mencegah kitaran tindakan dan reaksi yang berbahaya yang boleh menarik lebih banyak pihak ke dalam konflik berkenaan, seterusnya mendalamkan ketidakstabilan dan meluaskan skala kemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri juga menggesa semua pihak yang terbabit untuk mengambil tindakan segera bagi mengurangkan permusuhan dan mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk mengelakkan konflik serantau yang lebih besar daripada meletus.

Terdahulu, Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam tadi, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran, mencetuskan kebimbangan di seluruh wilayah dan ikrar untuk membalas dendam.

Menurut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA), beberapa pangkalan tentera udara dan radar sudah disasarkan dalam operasi berkenaan.

IRGC menegaskan walaupun kawasan itu dilindungi oleh sistem pertahanan yang paling canggih dan berskala besar, 90 peratus daripada peluru berpandu berjaya mengenai sasaran, dan rejim Zionis takut dengan perisikan dan penguasaan operasi Republik Islam.

Operasi itu dilakukan dalam rangka hak pertahanan yang sah dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan sebarang kebodohan musuh akan dijawab dengan cara yang merosakkan dan dikesali.

Tentera Israel mengumumkan perkara itu selepas kira-kira sejam serangan berkenaan berakhir dengan sejumlah besar peluru berpandu yang pihaknya dakwa berjaya dipintas.

Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu.

Sementara itu, Tentera Israel menegaskan bahawa pasukan udaranya akan terus melancarkan serangan lebih besar di seluruh Asia Barat pada waktu malam selepas Iran menyerang Israel dengan puluhan peluru berpandu beberapa jam sebelumnya.

“Pasukan udara terus beroperasi sepenuhnya dan malam ini ia akan terus menyerang di Asia Barat dengan lebih besar seperti yang telah berlaku sepanjang tahun lalu,” kata jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berikrar untuk bertindak terhadap Iran selepas negara itu melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, sambil menuduh Tehran mendorong “Asia Barat’ ke arah peningkatan konflik”.-BH Online