Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUSAN (KOREA): Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa organisasi media yang menghadapi isu tunggakan gaji petugas supaya segera menyelesaikan bayaran berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan tidak membayar gaji pengamal media selama beberapa bulan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya berpendapat ini tidak sepatutnya berlaku, organisasi media itu wajib melunaskan tunggakan gaji kepada pekerja mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Fahmi kini sedang dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa majikan yang mewakili pengamal media The Malaysian Insight dan The Vibes untuk segera melangsaikan tunggakan gaji yang tidak dibayar selama beberapa bulan.

Mereka berkata, perkara ini jelas satu bentuk penindasan yang mencerminkan kelemahan pengurusan di pihak majikan itu sendiri.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau juga bersedia menjadi perantara bagi pihak pengamal media dan majikan masing-masing untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu berkenaan. – BERNAMA