Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) yang berlangsung di Muscat, Oman, selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa Fadhlina akan menyampaikan kenyataan negara pada persidangan itu dengan memberi tumpuan bagi memastikan pendidikan berkualiti yang menjadi teras pembangunan lestari.

Katanya, beliau juga akan berkongsi amalan dan pengalaman Malaysia dalam memperkasakan pendidikan digital serta bidang kecerdasan buatan (AI).

Menurut kenyataan itu lagi, Fadhlina dijadual mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Ketua Pengarah ICESCO, Dr Salem Mohammed Al-Malik, dan ketua perwakilan negara anggota untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan kerjasama bawah inisiatif ICESCO serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Persidangan membabitkan penyertaan Menteri Pendidikan dan delegasi dari 27 negara anggota ICESCO itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Oman serta Suruhanjaya Pendidikan, Budaya dan Sains Oman.

Ia bertujuan memperkukuh komitmen dalam mentransformasikan pendidikan, merapatkan jalinan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan. – BERNAMA