Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Pakistan dari 2 hingga 4 Oktober ini, yang dijangka memperkukuh hubungan Malaysia-Pakistan menerusi perbincangan strategik bagi meningkatkan kerjasama dua hala.

Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang menandakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Anwar menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

Perdana Menteri Malaysia akan disambut dengan upacara sambutan rasmi, diikuti pertemuan dua hala dengan Shehbaz yang akan menghoskan majlis makan tengah hari untuk Anwar.

“Pertemuan itu akan memberi peluang kedua-dua perdana menteri menilai kerjasama sedia ada dan membincangkan inisiatif bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan susulan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 2019.

“Mereka dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” kata kenyataan Wisma Putra itu.

Kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dua dokumen antara Malaysia dan Pakistan.

Dokumen berkenaan ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan, serta Surat Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA).

Majlis itu akan diikuti dengan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan, Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada Bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.

Wisma Putra berkata, Anwar dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) dan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada universiti berkenaan.

Semasa lawatan itu, Anwar juga akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, sebelum menghadiri jamuan negara yang dianjurkan oleh presiden.

“Presiden dijangka menganugerahkan Anwar dengan anugerah tertinggi awam Pakistan, Nishan-e-Pakistan, semasa pertemuan mereka di Istana Presiden,” menurut Wisma Putra.

Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM7.84 bilion (AS$1.4 bilion), menyusut 18 peratus berbanding RM7.89 bilion (AS$1.78 bilion) pada 2022.

Antara barangan yang didagangkan ialah minyak sawit, pakaian, tekstil, produk kimia dan berasaskan kimia, serta produk elektrik dan elektronik.

Pakistan adalah rakan perdagangan ke-35 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-31 terbesar, dan sumber import ke-41 terbesar.

Dalam kalangan negara Asia Selatan, Pakistan adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.

Malaysia adalah rakan dagangan ke-14 terbesar dan destinasi eksport ke-14 terbesar Pakistan, serta sumber import ke-15 terbesar.

Sehingga Jun 2024, seramai 4,666 pelajar Pakistan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. – BERNAMA