Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata sebanyak 16 peratus daripada 97 peranan kerja dalam sektor kewangan akan menerima impak penting dalam revolusi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata selain itu terdapat jawatan atau peranan tertentu akan mengalami penggabungan atau digantikan dengan teknologi.

Katanya, ia termasuk pegawai khidmat pelanggan, penasihat pelaburan dan analisis pelaksanaan, ejen jualan langsung, pegawai jualan produk, pengurus pembangunan perniagaan, pegawai kredit dan pinjaman, serta pegawai operasi pelaburan. 

“Selain itu, terdapat sembilan peratus peranan baharu akan diwujudkan. Ia adalah peranan yang belum dapat dilihat dalam sektor ini tetapi akan menjadi lebih menonjol pada masa akan datang.

“Ia termasuk pakar pembelajaran mesin, arkitek integrasi, `cloud engineer, penganalisis transformasi digital dan penerimaan, penasihat kerjasama komuniti dan pegawai kelestarian,” katanya dalam ucapan pada Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024, di sini, hari ini. 

Steven berkata laporan yang dinyatakan itu adalah berdasarkan data yang didorong oleh pihak industri dan bercadang untuk mengeluarkan laporan impak itu dalam masa terdekat 

Katanya, dari situ KESUMA akan merangka dasar kemahiran untuk memastikan strategi latihan menangani jurang sebenar dalam dunia nyata dan bukannya sekadar andaian daripada pemikiran ahli politik.

“KESUMA juga akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan termasuk melalui Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan dalam memastikan pendidikan dan latihan kemahiran direka bentuk bagi memenuhi keperluan dunia sebenar,” katanya.-BH Online