Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan yang menjadi antara penyumbang kepada ekonomi negara akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2025, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerajaan dijangka menambah peruntukan dalam sektor itu dalam usaha merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan di dalam negara. 

Katanya, ia juga seiring dengan program besar iaitu Tahun Melawat Malaysia pada 2026 dan persediaan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025. 

“Dari segi dasarnya mestilah ada pertambahahan untuk sektor pelancongan kerana tahun depan (2025), kita menjadi Pengerusi ASEAN dan tahun 2026, kita kena bersedia untuk ‘Tahun Melawat Malaysia’. 

“Jadi dalam belanjawan ini (2025), kita akan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk kita membuat dua-dua usaha (program) ini berjaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Menteri Kewangan II Bersama Penggiat Pelancongan di Terengganu di sini, hari ini. 

Terengganu menjadi negeri kesembilan yang mengadakan sesi libat urus dalam usaha kerajaan untuk merangka bajet yang lebih baik. 

Amir Hamzah berkata, pelancongan adalah antara industri yang penting untuk Malaysia kerana ia menjana hasil yang cepat untuk negara. 

Katanya, penambahan peruntukan itu bukan hanya untuk mempromosikan aktiviti pelancongan yang ada, sebaliknya diperlukan untuk penyelenggaran infrastruktur di seluruh negara bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

“Jadi, kita akan lihat yang mana kita perlu beri keutamaan untuk meningkatkan lagi infrastruktur untuk keselesaan pelancong. 

“Selain itu, kita juga ada menerima cadangan di mana kita mungkin boleh membantu mereka yang terlibat dalam industri ini mendapat sokongan daripada segi galakan insentif atau dari segi meningkatkan kemahiran. 

“Jadi, kita (akan) melihat bersama Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk merancakkan lagi industri pelancongan selain melihat sistem pinjaman kewangan yang boleh diberikan kepada pemain-pemain industri ini,” katanya.-BH Online