Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di sini, sejak 11 September lalu berjaya mencapai sasaran kehadiran tiga juta pengunjung setakat semalam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pencapaian itu mencerminkan sokongan padu daripada masyarakat bagi program sebegini sekali gus menyaksikan penyerahan sebuah motosikal kepada pengunjung bertuah (bagi pengunjung ketiga juta) sebagai tanda penghargaan.

“Saya jangkakan jumlah pengunjung ke MAHA kali ini akan mencecah lima juta pada hujung minggu ini. null

“Bagi menghargai sokongan kuat daripada rakyat Malaysia ke atas MAHA 2024 ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menghadiahkan sebuah kereta Perodua AXIA kepada pengunjung kelima juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata sasaran pengunjung sepanjang 12 hari penganjuran MAHA kali ini adalah seramai tiga juta, iaitu ia mampu menjana nilai jualan langsung mencapai RM40 juta serta nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta.

Menurutnya, berdasarkan laporan harian MAHA, dijangkakan jumlah pengunjung akan naik mendadak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.

Justeru, katanya, beliau sudah mengarahkan kementeriannya untuk menggunakan semua aset bas, van, trem dan bugi yang ada di bawah agensi untuk membantu melancarkan perjalanan orang ramai.

Selain kejayaan mencapai sasaran tiga juta pengunjung, Mohamad berkata jumlah jualan benih dan anak pokok daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah melebihi daripada jumlah jualan MAHA edisi lepas.

“Ini menunjukkan kecenderungan dan minat orang ramai terhadap sektor pertanian semakin meningkat,” katanya.

Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan penyertaan daripada pelbagai negara.- BERNAMA