TANJUNG MALIM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu bersedia dalam apa juga keadaan berhubung isu pertindihan tuntutan antara Malaysia dan negara lain termasuk China di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dalam apa juga keadaan, ATM perlu bersiap siaga termasuk dalam isu terbaru permintaan China supaya Malaysia menghentikan aktiviti cari gali minyak dan gas di suatu kawasan perairan Laut China Selatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan terhadap kebocoran maklumat yang didakwa membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing bertarikh 18 Februari lalu.
“Surat itu belum ada kesahihan, tetapi memang kita tak nafikan ada tuntutan bertindih (di Laut China Selatan) dan kita sentiasa memerhatikan apa berlaku antara China dan Filipina.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan perlu bersedia (dalam keadaan) apa pun,” katanya selepas hadir Program Executive Lecture Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Mohamed Khaled diminta mengulas mengenai kebocoran maklumat nota diplomatik China yang dilaporkan media luar.
Terdahulu, Kementerian Luar dilaporkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat terbabit.
Wisma Putra berkata, Malaysia dan China adalah Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa mengambil inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian ini ke tahap lebih tinggi.
“Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua-dua negara menzahirkan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan,” kata kenyataan Wisma Putra.-BH Online