Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Perdana Menteri berkata, peruntukan sebanyak RM10 adalah daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi komitmen daripada syarikat swasta khusus untuk kebajikan, latihan dan pengurusan pasukan berkenaan.

“Pada hari ini, mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat mengenai bola sepak, saya mengambil keputusan untuk secara peribadi memantau dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia.

“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya di antara gergasi di Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Harimau Malaya akan bertemu Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Seandainya berjaya mengatasi Filipina, Harimau Malayaakan menentang sama ada juara bertahan, Tajikistan atau Lubnan di final yang akan berlangsung, Ahad ini.

Untuk rekod, Tajikistan muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menewaskan Malaysia 2-0 di pentas akhir, 17 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kebajikan dan kemudahan pemain bola sepak negara menjadi keutamaannya.

PM akan jumpa FAM sebaik pulang dari Russia

Justeru, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebaik pulang dari lawatan rasmi di Russia. 

“Kalau kita dapat pengurus dan jurulatih tarafnya yang betul-betul menunjukkan komitmen mereka, tak mengapa jika dari luar negara pun. 

“Selepas balik dari Russia, jumpa (Presiden) Vladimir Putin, saya akan jumpa dengan FAM maklumkan hal ini serta (Menteri Belia dan Sukan), Hannah Yeoh supaya dapat selaras (perkara ini),” katanya. 

Ranking Harimau Malaya ke-134

Setakat 18 Julai lalu, skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-134 dunia menerusi kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

Bagaimanapun, tiada perubahan dari segi pungutan mata di mana skuad negara masih menghimpun 1,107.58 mata sama seperti kemas kini terakhir pada 20 Jun lalu.

Kedudukan ini menyaksikan skuad negara kekal berada satu anak tangga di belakang seteru serumpun, Indonesia yang turut naik satu anak tangga ke kedudukan 133 dunia.

Kemas kini seterusnya akan berlangsung pada 19 September ini. 

Bagi kedudukan negara ASEAN yang lain menyaksikan Thailand turun satu anak tangga ke-101 namun Vietnam naik satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-115 dunia.

Filipina kekal ke-147 dunia sementara Singapura dan Myanmar masing-masing turun dua anak tangga untuk berada di tangga ke-161 dan ke-166.

Jepun kekal selaku pasukan terbaik Asia namun turun satu anak tangga di kedudukan ke-18, Iran kekal di tangga ke-20 manakala Korea Selatan turun satu anak tangga (23).

Secara keseluruhan, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan 1901.84 dan juara Eropah, Sepanyol melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga apabila meraih mata terbanyak dengan 105.75 mata.

Perancis berada di tangga kedua ranking FIFA dengan 1854.91 mata.-BH Online