Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah mengagihkan dana zakat berjumlah RM500 juta kepada asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif setakat Julai tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seramai 27,000 asnaf di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya menerima manfaat ini dalam pelbagai bentuk bantuan.

Selain itu menurutnya, MAIWP turut mengadakan pelbagai program seperti latihan dan kursus perniagaan bertujuan mengeluarkan asnaf dari kepompong kemiskinan.

Katanya, jumlah asnaf di Putrajaya tidak ramai seperti kawasan lain.

“Kita berharap Sukarelawan Jejak Asnaf MAIWP terus turun padang bagi menjejaki golongan asnaf manakala masyarakat juga diseru menyalurkan maklumat sekiranya tahu terdapat jiran atau masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya pada Program Ziarah Asnaf MAIWP Cawangan Putrajaya di sini, tadi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP,Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Dalam program ini Mohd Na’im turut menyampaikan tiga sumbangan membabitkan bantuan kepada kanak-kanak diserang penyakit genetik di Perumahan Penjawat Awam Presint 16 dan dua bantuan kepada warga emas di Presint 5 dan Presint 6.

Mohd Na’im berkata, pihaknya berharap masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memerhatikan dan memaklumkan kepada MAIWP sekiranya mereka terjumpa dengan golongan miskin yang memerlukan bantuan kerana sebahagian daripada mereka initidak tahu bantuan boleh dipohon melalui MAIWP.-Harian Metro Online