Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perolehan pesawat tempur F/A-18D Hornet akan diputuskan selepas Kementerian Pertahanan memperoleh laporan lengkap daripada pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke Kuwait pada Jun lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kementerian masih menunggu laporan lengkap, justeru perkembangan mengenainya setakat ini belum diputuskan.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan dibuat tidak semata-mata bergantung kepada laporan dari pasukan teknikal itu, tetapi turut mengambil kira keperluan negara terutama dari aspek TUDM sendiri. 

“Kita sedang tunggu laporan teknikal secara keseluruhan, kemudian baru kita buat keputusan dari segi strategi perolehan itu.

“Setakat ini kumpulan teknikal ada perkembangan dari Kuwait, cuma nanti akan buat keputusan berdasarkan (laporan) kumpulan teknikal yang telah pergi membuat penilaian dan kita sedang tunggu laporan secara keseluruhan.

“Selepas itu baru buat keputusan dari segi strategi perolehan, sama ada bagaimana cara dan keputusan kita untuk membuat pembelian… jadi keputusan kita sama ada nak membuat perolehan dan sebagainya (perlu) ambil kira pelbagai faktor lagi,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET) Siri 2/2024 di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur itu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Adly berkata kementeriannya akan memberi penjelasan dan pelan rancangan jangka panjang menerusi perbahasan di Dewan Rakyat, minggu depan.

“LKAN itu akan dibahaskan di Parlimen minggu hadapan. Jadi kita di kementerian akan bagi penjelasan dan pelan atau rancangan kita untuk menjelang 2050, seperti mana perancangan asal.

“Kita tahu ada banyak perkara yang dibangkitkan oleh laporan audit itu. Memang kena ada penyelesaian dan saya fikir, kita akan jawab di Parlimen minggu depan,” katanya.

Pada program itu, Adly menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM170,000 kepada 34 usahawan dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tdi Perak. 

Sebanyak 54 usahawan veteran ATM elah menerima geran keseluruhan berjumlah RM270,000 menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) setakat tahun ini.

“Program ini dari 2023 dan kita bawa ke 2024 dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah kerana kita tahu dalam kalangan golongan veteran berpencen dan tidak berpencen terlibat dengan bidang keusahawanan,” katanya.-BH Online