Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta memerlukan perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang holistik merentas pelbagai agensi dan lapisan masyarakat khususnya keluarga.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penglibatan wanita dalam menduduki jawatan tinggi sektor awam melebihi sasaran 30 peratus.

“Saya ingin menyeru kerajaan menetapkan sasaran baharu untuk memastikan peningkatan berterusan penglibatan wanita dalam membuat keputusan. 

“Langkah berkesan perlu diambil bagi meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan di sektor swasta yang belum mencapai 30 peratus lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Karnival Wanita MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban/

Beliau berkata, konsep tanggungjawab bersama (shared responsibility) dengan pasangan dalam urusan penjagaan anak-anak perlu dipraktikkan bagi memastikan wanita boleh bekerja dengan sistem sokongan yang utuh daripada keluarga mereka sendiri. 

Dr Wan Azizah berkata, sektor penjagaan juga perlu diperluas dan ditingkatkan supaya lebih ramai keluarga mampu mendapatkan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dengan beberapa pengecualian yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan Islam.

Beliau berkata, Malaysia menerima maklum balas positif menerusi pembentangan Laporan Negara dalam persidangan CEDAW di Geneva baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata data pada 2021 juga menunjukkan perniagaan milik wanita menyumbang RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan pekerjaan untuk hampir 800,000 pekerja. 

Justeru, katanya data diperoleh sewaktu pandemik COVID-19 itu membuktikan kepentingan wanita dalam peningkatan ekonomi negara dan yakin sumbangan itu akan terus meningkat.-BH Online