Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan RM2.4 juta bulan lalu bagi membaiki saluran bekalan air kawasan luar bandar Sabah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kementerian secara berterusan akan menambah peruntukan dari semasa ke semasa.
“Bagaimanpun, koordinasi harus seiring agar semua rakyat mendapat bekalan air bersih yang sepatutnya. Jika pembaikan hanya melibatkan saluran paip, manakala usaha memastikan bekalan air mencukupi tidak dilakukan, situasinya tetap sama.
“Oleh itu, kerjasama kita akan selaraskan, kerajaan negeri juga telah diberikan peruntukan oleh kerajaan Pusat untuk memperbaiki dan menukar paip air. Saya fikir koordinasi ini boleh dilakukan supaya masalah berkaitan gangguan bekalan air dapat diatasi,” katanya.
Menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar di Resort Nexus Karambunai, di sini hari ini, beliau berkata, pihak kementerian juga sudah bertemu Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yakub Khan berkait isu itu.
“Ia bagi membincangkan masalah isu air di kawasan berkenaan. Peruntukan juga sudah diluluskan seperti yang diminta,” katanya.-BH Online