Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ke China bermula hari ini hingga 1 Jun depan antara lain akan memberi tumpuan utama kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, Ahmad Zahid juga dijangka menerokai peluang kerjasama kedua-dua negara terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Katanya, kedua-dua pihak turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Lawatan rasmi ini adalah sebahagian daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi yang dirancang untuk tahun ini, bertujuan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Di Beijing, Ahmad Zahid akan mengadakan perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang, dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.

“Beliau juga akan menganjurkan Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

“Majlis berkenaan juga adalah anjuran bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing,” katanya sambil memaklumkan Ahmad Zahid akan diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, sepanjang lawatan rasmi ke China itu.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, Ahmad Zahid dijadualkan menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Beijing antara syarikat Malaysia dengan China dalam bidang teknologi tinggi dan pendidikan.

“Beliau juga akan bertemu komuniti Malaysia di China sebagai antara inisiatif Kerajaan MADANI dalam rangka kerja ke republik itu sebagai memenuhi undangan daripada Xuexiang,” katanya.

Seterusnya di Hong Kong pula, menurut kenyataan itu lagi, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka bertemu Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu.

Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, melakar sejarah sebagai pemimpin ASEAN yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik rasmi dengan China.

Ia dibuat menerusi pemeteraian Penyataan Bersama (Joint Communiqué) dengan Perdana Menteri Pertama China, Chou En-lai, pada 31 Mei 1974, sekali gus menjadi asas perkongsian kukuh.

Hubungan diplomatik Malaysia-China kemudian dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2013, yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

China muncul rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Jumlah perdagangan bersama China mencecah nilai RM450.84 bilion pada tahun lalu, menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Sebanyak 64 projek pembuatan diluluskan membabitkan nilai pelaburan RM12 bilion, tahun lalu. China menduduki tempat kelima pelabur terbesar dan projek itu dijangka mewujudkan 9,305 peluang pekerjaan.-BH Online