Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sejumlah 747 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah masing-masing akan ditempatkan ke semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, selain membantu meringankan peningkatan beban kerja petugas kesihatan, penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) itu juga untuk tujuan latihan supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi.

“(Langkah) ini penting agar mereka (PPS) mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat.

“KKM turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian PPS di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan pihaknya amat memahami cabaran dihadapi petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja. 

Justeru, beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

KKM sebelum ini memutuskan untuk membuka penempatan PPS baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital lain selain hospital negeri. 

Keputusan dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS bertambah baik, dengan tawaran penempatan dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lalu yang membabitkan 792 calon.

Awal tahun ini, KKM memutuskan penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS semakin menurun dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan. 

Sehingga April 2024, KKM melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS membabitkan 701 orang pada siri lantikan pertama, dan 803 lagi pada siri lantikan kedua.

Bagi siri lantikan seterusnya, KKM berkata penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta faktor-faktor lain yang berkaitan.-BH Online