Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kecekapan Malaysia dalam aspek pengurusan operasi haji, melayakkan negara ini dipilih menyertai program Makkah Route untuk tahun keenam berturut-turut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi kepercayaan dan hubungan dua hala dengan Kerajaan Arab Saudi melalui pelaksanaan Program Pra-Perlepasan Jemaah Haji atau Makkah Route untuk tahun keenam.

“Kerajaan Malaysia amat berbesar hati serta menghargai kepercayaan diberikan Kerajaan Arab Saudi, kerana sekali lagi dipilih menyertai program Makkah Route bagi musim haji tahun ini di samping enam negara lain, iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

“Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji kendalian TH.

“Selain itu, tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, awal pagi tadi.

Yang turut hadir ialah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim, serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Malaysia adalah negara pertama di dunia yang diberi kepercayaan oleh Arab Saudi untuk melaksanakan Makkah Route melalui program rintis pada 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan pelaksanaan program penuh pada 2018, 2019, 2022, 2023 dan tahun ini, selain diperluaskan ke enam negara lain.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pelaksanaan Makkah Route banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji Malaysia kerana selepas melalui penerbangan selama lapan jam, mereka tidak perlu lagi menunggu lama di lapangan terbang setiba di Tanah Suci berikutan proses pemeriksaan Jabatan Imigresen serta Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di KLIA.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, TH sentiasa memfokus tahap profesionalisme yang tinggi ketika mengurus jemaah haji negara, selain komited memberi perkhidmatan terbaik kepada Dhuyufurrahman setiap tahun.

“Pelaksanaan Makkah Route meletakkan pengurusan haji TH pada tahap cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji. Malah, ini dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan yang direkodkan.

“Pihak TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuh hubungan dua hala ini, dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan Dhuyufurrahman.

“Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Malaysia Airports Holdings Berhad atas sokongan diberikan, dan penghargaan juga buat semua jemaah haji negara serta pendeposit atas kepercayaan mereka kepada TH selama ini,” katanya.

Majlis pelancaran itu berlangsung ketika perlepasan 353 bakal haji kumpulan ke-38 (KT038) ke Tanah Suci melalui pesawat Saudi Airlines SV 5013 pada jam 2.15 pagi tadi.

Setakat semalam, lebih 10,400 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci melalui proses Makkah Route.-BH Online