Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan operasi perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Keretapi Segambut Utara bermula 11 Mei ini, sekali gus meningkatkan akses pengangkutan rel kepada penduduk kawasan berhampiran. 

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengoperasian itu dijangka memberikan manfaat kepada lebih 250,000 penduduk sekitar Segambut, khususnya komuniti di kawasan Segambut Utara, Jalan Ipoh dan Kepong.

Menurut KTMB, stesen berkenaan adalah stesen KTM Komuter ke-58 dalam rangkaian laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang, dan menghubungkan penumpang ke beberapa stesen integrasi rel utama seperti Sungai Buloh, Kepong Sentral, Abdullah Hukum dan Subang Jaya. 

Penumpang juga boleh meneruskan perjalanan ke laluan sektor Batu Caves-Pulau Sebang dengan membuat pertukaran tren di stesen integrasi seperti Stesen Kuala Lumpur dan KL Sentral.

“Kedudukan strategik stesen itu turut menyediakan kemudahan kepada pembangunan komersial dan kediaman seperti United Point, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat aktiviti ekonomi dan rangkaian pengangkutan awam.

“Kehadiran stesen itu turut menyokong keperluan mobiliti harian di kawasan berpenduduk padat serta menggalakkan peralihan kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat,” menurut kenyataan itu. 

KTMB turut menyediakan tambang konsesi sebanyak 50 peratus kepada pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain memperkenalkan program MyRailLife, yang menawarkan pas perjalanan percuma tanpa had kepada empat kategori layak, iaitu kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar Tingkatan Enam serta OKU. 

“Melalui inisiatif ini, penumpang yang layak boleh menikmati pas perjalanan percuma tanpa had bagi memudahkan mobiliti harian serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel sebagai mod pengangkutan utama,” katanya.

Pengguna boleh membeli tiket di aplikasi KITS Style atau kios tiket di stesen-stesen KTMB selain membuat pembayaran menggunakan kad debit, kad kredit dan pembayaran digital e-dompet di pintu kawalan automatik. 

“Pengoperasian stesen itu dijangka memudahkan perjalanan kepada pengguna harian, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan memperkukuh agenda mobiliti bandar yang lebih mampan di Lembah Klang. 

“Orang ramai boleh merancang perjalanan melalui laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau aplikasi KITS Style, dan menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” menurut kenyataan itu.-BH Online